Monday, October 25, 2010

Takwa ciri paling penting bentuk insan lebih bertamadun


Takwa ciri paling penting bentuk insan lebih bertamadun

ORANG bertakwa senantiasa menjauhkan dirinya daripada tingkah laku atau perbuatan yang dimurkai Allah dan tetap mematuhi perintah-Nya dengan kesedaran diri, ikhlas dan tanpa rasa terpaksa.
Lantaran itulah, Sayyid Abdullah Haddad dalam kitabnya Menuju Kesempurnaan Hidup menegaskan, manusia paling mulia, paling tinggi darjatnya, terhormat kedudukannya dan utama di dunia serta akhirat adalah ahli ilmu, makrifat yang taat dan bertakwa kepada Allah.
Orang yang bertakwa sesungguhnya tercermin pada akhlak serta keperibadiannya di mana jelas nampak begitu indah dan menawan. Diterangkan dalam al-Quran tanda atau ciri orang yang terhias dirinya dengan sifat takwa.
Firman Allah yang bermaksud: “Al-Quran itu jangan diragukan, ada mengandungi petunjuk bagi orang yang takwa. Iaitu orang yang beriman kepada yang ghaib, dan orang yang mengerjakan solat, dan membelanjakan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” - (Surah al-Baqarah, ayat 2-3)
Daripada maksud ayat itu maka dapatlah disimpulkan ciri orang yang bertakwa iaitu:
l Percaya kepada al-Quran, iaitu dengan mengikuti dan menghayati sepenuhnya segala isi kandungannya sebagai pedoman hidup serta menjauhi apa-apa larangan yang dinyatakannya.
l Percaya kepada perkara ghaib dengan penuh yakin iaitu seperti adanya syurga, neraka, dosa pahala, alam kubur, mahsyar, mizan dan lain-lain.
l Sentiasa mengerjakan solat fardu sama ada ketika tenang atau sibuk, sihat atau sakit tanpa mengira keadaan dan waktu. Di samping itu menambahkan lagi amalannya dengan mengerjakan solat sunat yang dianjurkan dalam Islam.
l Membelanjakan sebahagian rezekinya termasuk sedekah, derma, memberi nafkah kepada anak isteri, sumbangan kepada orang memerlukan. tidak kedekut atau bakhil dan sangat percaya bahawa setiap harta yang dibelanjakan itu akan ditambahkan lagi oleh Allah.
Sesungguhnya takwa itu tidak datang sendiri kepada seseorang tetapi perlu dicari, diusahakan untuk mendapatkannya. Ada beberapa jalan untuk memperoleh takwa seperti:
l mempelajari ilmu yang dituntut Allah kerana dengan adanya ilmu itu seseorang akan mengenal Allah, kekuasaan-Nya, sifat-Nya yang Agung. Dengan ini akan dapat mencetuskan rasa gerun dan hebat kepada Allah sebagai zat yang patut diperhambakan diri.
l Mengamalkan ilmu yang dipelajari, ilmu yang diperoleh jika tidak diamalkan hanyalah sia-sia belaka, baik fardu ain atau fardu kifayah.
l Beriman kepada Allah dengan sepenuh hati.
l Menjaga akhlak yang dituntut oleh Islam iaitu akhlak yang mulia seperti Rasulullah SAW.
Orang yang bertakwa adalah hamba yang sangat mulia dan tinggi kedudukannya di sisi Tuhan Rabbul Jalil, sentiasa mendapat perlindungan-Nya dan rahmat-Nya. Beberapa keistimewaan orang yang memiliki sifat takwa seperti dinyatakan dalam al-Quran ialah:
l Mendapat bimbingan dan dihapuskan dosa.
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa) kamu.” - (Surah al-Anfal, ayat 29)
Para muttaqin sesungguhnya hidup di bawah petunjuk dan bimbingan Allah. Tidak melakukan sesuatu apapun, melainkan atas jalan yang benar, jalan diredai oleh-Nya. Jika melakukan kesilapan, segera bertaubat kepada Allah tanpa berlengah lagi.
Apabila sepanjang masa melakukan perkara baik dan terpuji yang selari dengan syariat Islam, sudah tentu dapat memadamkan dosa lalu dan tidak mungkin pula melakukan dosa. Hal ini ada disebut dalam ayat al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya segala kebaikan dapat menghapuskan segala kejahatan.” (Surah Hud, ayat 114)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dan ikutilah kejahatan itu dengan mengerjakan kebaikan, supaya kebaikan itu dapat menghapuskannya.”
l Masuk syurga dengan penuh penghormatan
Memang tidak dinafikan hamba yang bertakwa kepada Allah secara benar dan ikhlas akan memperoleh anugerah Allah sangat besar iaitu syurga. Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang bertakwa kepada Tuhan, dibawa ke dalam syurga berkumpulan pula. Sehingga apabila mereka sampai ke syurga itu sedang pintu-pintunya terbuka dan berkatalah kepada mereka penjaga: “Kesejahteraan dilimpah atasmu. Berbahagialah kamu, maka masukilah syurga ini sedang kamu kekal di dalamnya.” - (Surah az-Zumar, ayat 73)
l Tersisih daripada api neraka
Paling ditakuti oleh semua mukmin ialah apabila tiba di akhirat nanti akan dicampakkan ke dalam api neraka. Bagi orang yang bertakwa, mereka tidak perlu takut, kerana mereka pasti akan diselamatkan oleh Allah daripada api neraka.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Allah menyelamatkan orang yang bertakwa kerana kemenangan mereka, mereka tiada disentuh oleh azab (neraka dan tidak pula mereka berduka cita.” - (Surah az-Zumar, ayat 61)
l Dimudahkan jalan keluar dan dimurahkan rezeki
Sesungguhnya sejak hidup di dunia lagi, orang bertakwa mendapat pembelaan Allah iaitu dengan memberi jalan keluar dan dimurahkan rezeki. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya) nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya) serta memberinya rezeki daripada jalan yang tidak terlintas di hatinya.” - (Surah ath-Tholaq, ayat 2-3)
Di sini tergambar betapa hebatnya kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya yang bertakwa. Takwa akan melahirkan masyarakat bertamadun dan terkehadapan dalam segenap aspek kehidupan mengharungi zaman yang serba canggih.

No comments:

Post a Comment