Saturday, October 30, 2010

Ganjaran orang bertaqwa dan Gurauan Yang Dituntut Oleh Islam





Ganjaran orang bertaqwa dan  (sebaliknya) akan dijauhkan (azab neraka) itu daripada orang yang sungguh bertaqwa, yang mendermakan hayatnya dengan tujuan membersihkan dirinya dan harta bendanya. (Al-Lail : 17-18)Huraian:Manusia dicipta oleh Allah s.w.t. dengan pelbagai tabiat, kecenderungan, minat dan pandangan yang berbeza antara satu dengan yang lain.Begitu juga dengan amal usaha mereka di mana sebahagian daripadanya banyak melakukan kebaikan dan amal soleh.Mereka juga berusaha meningkatkan ketaqwaan kepada Allah dari masa ke masa.Sedangkan sebahagian lagi suka membuat perkara-perkara mungkar yang membawa kepada kerosakan dan kehancuran akibat terlalu mengikut nafsu dan perasaan.Amat beruntung mereka yang tinggi tingkat keimanan dan ketaqwaannya kepada Allah kerana balasan dan ganjaran yang dijanjikan adalah syurga yang kekal abadi.
Di samping itu, mereka juga merasa nikmat ketenangan jiwa dan kelapangan dada dalam kehidupan di dunia lagi.Sikap pemurah yang ditunjukkan dalam membelanjakan harta ke jalan Allah dilakukan dengan penuh ikhlas, tanpa paksaan dan tidak mengharapkan balasan.Dengan mengeluarkan sedekah, derma dan zakat kepada orang yang layak dapat membersihkan diri daripada perasaan takbur, sombong, bermegah-megah dan riak, di samping akan menyucikan dan menyuburkan lagi harta benda mereka tanpa disedari.Cara ini juga dapat membangunkan sosio-ekonomi umat Islam seterusnya melahirkan persekitaran yang harmoni dan tenteram.Firman Allah s.w.t. dalam surah at-Taubah ayat 103 yang bermaksud:Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk).
Kesimpulan:Orang Islam digalakkan bersedekah dan saling tolong menolong agar pengagihan harta kekayaan dapat dibahagikan dengan saksama, seterusnya merangsang perkembangan ekonomi masyarakat Islam.Di samping itu mereka yang bertaqwa dan beramal soleh akan mendapat ganjaran setimpal dan dijauhkan daripada seksaan api neraka.Sedangkan mereka yang berbuat sebaliknya mendapat balasan pedih di akhirat.Gurauan Yang Dituntut Oleh IslamSELAIN mengumpat, satu daripada bencana yang dilakukan oleh lidah manusia ialah gurauan. Termasuk dalam istilah gurauan ini ialah kelakar, melawak, olok-olok dan berjenaka. Abdus Samad Falembani dalam kitab Hidayatus Salikin menyebut gurauan sebagai ''al-mizah''.Beliau membawa hadis Rasulullah yang bermaksud; "Jangan engkau bantahi saudaramu dan jangan engkau perguraukan dia." (Hidayatus Salikin: 170). Menurut Imam al-Ghazali, bergurau itu ditegah syarak kerana ia membawa kepada banyak tertawa.Banyak tertawa itu mematikan hati dan boleh ''menanggalkan'' hati. 
Paling dahsyat, menurut beliau, ia boleh membawa atau mendorong kepada perbuatan derhaka. Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud; "Seseorang lelaki yang berkata dengan suatu perkataan supaya rakannya tertawa maka dia dijatuhkan ke dalam neraka selama 70 tahun." Imam Ghazali menasihatkan supaya manusia menjaga lidahnya daripada berkata-kata untuk menimbulkan gelak ketawa.Kata-kata gurau senda sebenarnya boleh menghilangkan malu seseorang. Ini kerana dalam mencari bahan ketawa, manusia sanggup membuat cerita bohong dan tidak munasabah. Untuk mereka-reka bahan lucu, mereka membuat cerita yang ganjil dan tidak masuk akal dan kebanyakannya cerita dusta. Inilah puncanya orang yang membuat kelakar boleh hilang malu. 
Pada hakikatnya malu senjata orang beriman. Malu adalah alamat atau tanda orang yang beriman.Yang paling mengaibkan, sebahagian daripada kita suka membawa cerita lucah atau separuh lucah dalam perkataan semata-mata untuk menimbulkan gelak ketawa orang lain. Rasulullah bersabda bermaksud; "Malu adalah cabang daripada iman." Dalam sabda lain, baginda menyatakan; "Malu dan iman seganding. Apabila terangkat salah satu daripadanya maka terangkatlah kedua-duanya." Dapat difahami daripada hadis ini, jika seseorang itu hiasaan malu daripada dirinya maka hilang jugalah imannya.Namun begitu, bergurau ala kadar dibolehkan. Bagi sesetengah orang yang tidak tahan bergurau mungkin menimbulkan persengketaan atau perkelahian. Maka ini bertentangan dengan kehendak Islam. Firman Allah bermaksud; "Sesungguhnya orang beriman itu adalah bersaudara maka perbaikilah hubungan antara kedua-duanya." (al-Hujurat: 11). Justeru, elakkanlah bergurau, bersenda melampaui batas perasaan atau pemikiran rasional supaya ukhuwah sesama kita tetap terpelihara.

No comments:

Post a Comment