Friday, October 29, 2010



Kafir dan Al-Qur'an


Tabiat mengkafir orang lain di kalangan masyarakat Melayu di sini sudah agak lama melepak. Gejala ini kelihatan seperti tidak akan pergi, malah nampak macam menjadi-jadi lagi. Malangnya, ia dilakukan dengan tanpa mengerti makna sebenar perkataan kafir yang dalam bahasa Arab. Bagi mereka perkataan itu bermaksud orang-orang yang tidak serupa pegangan dengan mereka dalam Islam ciptaan mereka.
Rujukan
Al-Qur'an adalah rujukan utama dalam bahasa Arab. Dan juga dalam agama Islam. Justeru, ayat-ayatnya akan dikemukakan di sini untuk menjelaskan penggunaan dan makna kafir dalam bahasa Melayu.
Adalah difahamkan bahawa daripada akar, kaf fa ra, terbit perkataan-perkataan kafarakaffarkaffarahkafurkufran dan kaffara, dalam bahasa Arab. Perkataan-perkataan tersebut turut digunakan di dalam al-Qur'an.
Oleh kerana kafir terbit daripada perkataan kafara, maka ayat-ayat al-Qur'an yang mengandungi kafara dan kata-kata yang terbit daripadanya dijadikan bukti di sini untuk mendedahkan makna sebenar perkataan kafir
Tidak percaya
Lawan bagi kafara atau kafir adalah amana yang daripadanya terbit perkataan-perkataan yukminuimanmukmin dan sebagainya. Ia bermaksud percaya atau imanorang-orang yang percaya, atau orang-orang yang beriman, bagaimana yang lazim disebut.
Daripada kafara terbit (selain kafir) perkataan-perkataan yakfuruukfurkufirayukfarukufrkufur, atau kafirun, dan yang serupa dengannya. Walaupun bunyinya agak berlainan, kerana berlainan kala, namun maksudnya sama, atau seakan-akan sama.
Perkataan-perkataan tersebut bermaksud tidak percayatidak berterima kasihdinafikanjangan percayaketidakpercayaan, dan orang-orang yang tidak percaya.
Sebagai contoh, diturunkan ayat berikut:
"Katakanlah, 'Yang benar adalah daripada Pemelihara kamu; maka hendaklah sesiapa yang menghendaki, percaya (yukmin); dan hendaklah sesiapa yang menghendaki, tidak percaya (yakfur).'" (18:29)
Banyak
Perkataan kafara dan kata-kata terbitannya cukup banyak ditemui di dalam al-Qur'an. Kesemuanya, dengan sekali kiraan, berjumlah 489. Hampir kesemua diterjemah kepada "tidak percaya".
Ayat al-Qur'an yang pertama mengandungi perkataan kafara berbunyi,
"Sesungguhnya orang-orang yang kafaruu (tidak percaya), sama sahaja bagi mereka, sama ada kamu memberi amaran kepada mereka, atau tidak memberi amaran kepada mereka, mereka tidak mempercayai (laa yu' minuuna)." (2:6)
Frasa "tidak percaya" adalah makna yang tepat bagi kafaruu di situ, kerana berlawanan dengan "tidak mempercayai" yang disebut di hujung ayat tersebut. 
Pun begitu, didapati sesetengah pihak menterjemahkannya, atau memelayukannya, kepada kafir pula, lalu berbunyi "Sesungguhnya orang-orang yang kafir, sama sahaja bagi mereka ..." Itu menyebabkan makna sebenar, tidak percaya, tidak sampai kepada sesetengah golongan masyarakat Melayu. Mereka terus menganggap kafir di situ ditujukan kepada orang-orang yang bukan Islam atau Islam yang bukan macam mereka tafsirkan.
Kembali kepada ayat 2:6 tadi. Apakah yang tidak dipercayai oleh orang-orang di situ? Atau, dengan perkataan lain, apakah yang dikafirkan oleh orang-orang tersebut? Menurut dua ayat yang mendahului, ia adalah kitab Allah yang dikafirkan. Ayat itu berbunyi,
"Yang mempercayai apa yang diturunkan kepada kamu (Muhammad), dan apa yang telah diturunkan sebelum kamu," (2:4)
Justeru itu, orang-orang yang dikatakan kafaruu atau kafir dalam ayat 2:6 itu, dan dalam konteks masyarakat Melayu hari ini, adalah mereka yang tidak percaya kepada kitab al-Qur'an (dan Taurat, Zabur dan Injil). Tidak percaya kepada Tuhan!
Ayat Allah
Kebanyakan daripada perkataan tidak percaya, atau kafir, seperti yang diketahui umum, ditujukan kepada Allah, ayat-ayat-Nya, atau al-Qur'an. Ayat yang banyak itu dicatat untuk menjadi amaran yang keras supaya manusia jangan tidak percaya kepada-Nya atau ayat-ayat-Nya.
Orang-orang yang kafaruu (tidak percaya / kafir) kepada ayat-ayat Allah, yang sekali gus mendustakannya, akan dimasukkan ke dalam Api (neraka), dan tinggal di sana selama-lamanya. Amaran ini diberi dari awal lagi di dalam al-Qur'an, yang berbunyi,
"Dan, orang-orang yang kafaruu (tidak percaya / kafir) dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah orang-orang Api, di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya." (2:39)
Misal orang-orang yang tidak percaya, atau kafir, kepada ayat-ayat Allah ialah mereka yang tidak menghakimkan menurut apa yang Allah turunkan. Firman-Nya,
"Sesiapa yang tidak menghakimkan menurut apa yang Allah menurunkan, maka mereka itulah kaafiruuna (orang-orang yang tidak percaya / kafir)." (5:44)
Oleh itu, umat Islam harus berhati-hati apabila muncul orang-orang yang membuat hukum agama, umpama yang digelar hukum hudud, untuk menghakimkan sesuatu dalam agama, walaupun dikatakan Islam sebenar atau mereka kelihatan fasih dalam bahasa Arab. Kerana, boleh jadi, pena yang mereka guna untuk menulisnya hanya berdakwatkan tidak percaya, atau kafir kepada Allah.
Mereka yang berbuat demikian membezakan antara Allah dan rasul-Nya, walhal Allah dan rasul-Nya adalah satu dalam hukum. Ayat-ayat berikut, apabila diketahui, akan membuat umat memulaukan orang-orang yang ingin menggunakan nama rasul untuk mengadakan sesuatu yang berlainan daripada apa yang Allah turunkan di dalam al-Qur'an:
"Orang-orang yang yakfuruuna (tidak percaya) kepada Allah, dan rasul-rasul-Nya, dan menghendaki untuk membuat perbezaan antara Allah dan rasul-rasul-Nya ........ Mereka itulah kaafiruuna (orang-orang yang tidak percaya) yang sebenarnya" (4:150-151)
Mereka dipulaukan kerana mereka adalah orang-orang kafir yang sebenarnya.
Sebahagian Kitab
Contoh selanjutnya ialah kalimat yakfuru dan ayat yang mengandunginya. Ayat yang dimaksudkan memberitahu tentang orang-orang yang tidak percaya, atau kafir, kepada sebahagian daripada al-Kitab, dan ia berbunyi,
"Adakah kamu mempercayai sebahagian al-Kitab, dan kamu takfuru (tidak percaya / kafir) kepada sebahagian yang lain? Maka apakah balasan ke atas orang-orang daripada kamu yang berbuat demikian itu, melainkan kerendahan dalam kehidupan dunia, dan pada Hari Kiamat, dikembalikan kepada azab yang paling keras, dan Allah tidak lalai daripada apa yang kamu buat." (2:85)
Amalan tidak percaya, atau kafir, kepada sebahagian al-Qur'an dimurkai Allah. Mungkin tidak salah di sini untuk memberi contoh seperti orang-orang yang percaya kepada ayat yang menyuruh berpuasa, tetapi tidak percaya atau kafir kepada ayat lain yang menentukan waktunya pula.
Atau, orang-orang yang percaya kepada ayat yang menyuruh bersolat tetapi tidak percaya kepada ayat lain yang berkaitan dengannya - sekadar memberi dua contoh sahaja di sini.
Lima perkara
Tidak percaya, atau kafir, adalah bukan kepada ayat-ayat Allah sahaja. Yang lain, yang harus tidak ditidakpercayai, adalah seperti yang dinyatakan di dalam ayat berikut:
"Wahai orang-orang yang percaya (aamanuu), percayalah kamu (aaminuu) kepada Allah, dan rasul-Nya, dan Kitab yang Dia menurunkan kepada rasul-Nya, dan Kitab yang Dia menurunkan sebelumnya. Sesiapa yang yakfur (tidak percaya / kafir) kepada Allah, dan malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-Kitab-Nya, dan rasul-rasul-Nya, dan Hari Akhir, sesungguhnya dia sesat dalam kesesatan yang jauh." (4:136)
Umat Islam harus jangan tidak percaya kepada lima perkara (bukan enam) yang disebut itu (sila rujuk artikel Percaya kepada Taqdir). Mereka yang tidak membaca dan memahami al-Qur'an mungkin tidak terlepas daripada dikumpulkan bersama orang-orang yang tidak percaya, atau kafir, kerana ajaran yang mereka terima, daripada ulama palsu, mengenai lima perkara tersebut, mungkin bertentangan dengan ajaran sebenar daripada Allah.
Jangan percaya
Ukfur pula bermakna jangan percaya bagai yang terdapat di dalam ayat di bawah yang memberitahu tentang syaitan yang menyebutnya. (Adalah dirasakan amat tidak sesuai bagi kafir untuk dijadikan terjemahan kepada perkataan ukfur di sini).
"Persamaan syaitan, apabila ia berkata kepada manusia, 'Ukfur (Jangan percaya)'; kemudian apabila dia tidak percaya (kafara), ia berkata, “Sesungguhnya aku berlepas diri daripada kamu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Pemelihara semua alam.” (59:16)
Apa yang disuruh syaitan supaya jangan dipercayai di situ ialah al-Qur'an. Andaian ini dibuat setelah merujuk kepada ayat yang kelima selepas ayat tersebut, iaitu ayat 59:21.
Dinafikan
Dan Kufira dan yukfaru, yang turut terbit daripada kafara, diterjemah kepada dinafikan pula, atau "tidak dipercayai". Contoh ayat yang mengandungi perkataan tersebut adalah:
"Apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah yukfaru (dinafikan), dan diperolok-olokkan, janganlah duduk bersama mereka ..." (4:140)
Sekiranya perkataan itu diertikan kepada kafir maka ayat tersebut berbunyi "Apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah dikafirkan, dan diperolok-olokkan, janganlah duduk bersama mereka ..." Sekali lagi ditegaskan iaitu apa yang dikafirkan adalah ayat-ayat Allah, yang terkandung di dalam al-Qur'an.
Ketidakpercayaan
Sementara kufr dan kufur pula diterjemah kepada "ketidakpercayaan". Hanya satu ayat diturunkan sebagai contoh, berbunyi,
"janganlah mengambil bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu untuk menjadi wali-wali kamu, jika mereka lebih menyukai kufr (ketidakpercayaan / kekafiran) daripada keimanan;" (9:23)
Begitu berat tabiat tidak percaya, atau kafir, sehingga Allah melarang mengambil bapa dan saudara sendiri yang tidak percaya sebagai wali, atau orang-orang yang dipercayai.
Kafirun
Perkataan kafir atau kafirun, dan yang sepertinya, dalam bahasa Arab, bermakna "orang-orang yang tidak percaya". Perkataan itu disebut di dalam al-Qur'an sebanyak kira-kira 158 kali daripada 489 yang disebut dalam kafara. Satu contoh kegunaannya di dalam al-Qur'an adalah seperti berikut (selain ayat 4:150-151 tadi):
"Wahai orang-orang yang percaya, jika kamu mentaati segolongan daripada orang-orang yang diberi al-Kitab, mereka akan mengembalikan kamu, sesudah keimanan kamu, kepada kaafiriina (orang-orang yang tidak percaya / kafir)" (3:100)
Ayat itu mengingatkan orang-orang yang percaya supaya tidak mentaati segolongan orang-orang yang menerima al-Qur'an kerana mereka sudah menjadi tidak percaya atau kafir. Ini berlaku pada hari ini dengan kewujudan pelbagai pengertian bagi suruhan Tuhan dalam solat, haji dan puasa, misalannya. Dalam perbezaan yang banyak, tentu ada beberapa yang kafir.
Iblis
Pakaian "tidak percaya" atau kafir, tidak menutup sifat ingkar pada diri seseorang. Sifat itu dapat dilihat dengan jelas. Serupa Iblis, yang tergolong dalam golongan kafirun, ingkar kepada perintah Tuhan. Perintah-Nya satu, dan mudah pula, iaitu sujud kepada Adam. Firman-Nya,
"Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat, 'Sujudlah kamu kepada Adam', lalu mereka sujud kecuali Iblis. Ia enggan, dan ia sombong, dan ia menjadi antara kaafiriina (orang-orang yang tidak percaya / kafir)." (2:34)
Kerana satu keingkaran sahaja, Iblis digolongkan dalam kumpulan kafir. Bagaimana pula dengan orang-orang yang ingkar kepada perintah Tuhan, seperti dalam pembunuhan? Orang-orang itu melakukan keingkaran yang jauh lebih dahsyat daripada Iblis. Keingkaran Iblis tadi tidak melibatkan nyawa orang-orang lain, terutamanya mereka yang tidak berdosa.
Pembunuhan dihalalkan hanya dalam peperangan. Antara ayat yang membawa arahan tersebut adalah dua yang berikut:
"Kemudian, jika mereka memerangi kamu, bunuhlah mereka. Itulah balasan ke atas orang-orang yang tidak percaya." (2:191)
"Kemudian, jika mereka (orang munafik) berpaling, ambillah mereka, dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu mendapati mereka" (4:89)
Menyebut lagi tentang orang-orang yang membunuh tadi, yang ingkar atau tidak percaya kepada perintah Allah. Apakah kedudukan mereka setelah membunuh ramai orang awam, dengan bom misalnya, bukan dalam peperangan, dan bukan juga mereka yang memerangi? Dan tidak ketinggalan, yang tidak berdosa, atau yang mukmin, yang hanya dikenali oleh Allah sahaja?
Bolehkah orang-orang yang mengaku Islam sebenar tidak percaya atau kafir kepada ayat-ayat Allah?
Palsu
Orang-orang yang tidak percaya, atau kafir, hanya mengikuti yang palsu, menurut sebuah firman yang bermaksud,
"... orang-orang yang tidak percaya mengikuti yang palsu" (47:3)
Kerana tidak mempercayai yang benar (al-Qur'an), orang-orang yang tidak percaya mengikuti yang palsu. Mungkin ada juga yang melakukannya tanpa disedari kerana memikirkan kitab dan gurunya mendatangkan ajaran yang suci.
Makna lain
Hanya beberapa sahaja daripada perkataan kafara di dalam al-Qur'an yang wajar diterjemah kepada selain "tidak percaya". Selain "jangan percaya" dan "menafikan" seperti yang telah disebut, ia (kafara) diterjemah juga kepada "tidak berterima kasih". Faktor utama yang menyebabkan pengecualian ini adalah konteks ayat. Sehubungan itu, dua ayat diturunkan di bawah ini sebagai contoh:
"Berkata yang mempunyai pengetahuan al-Kitab, 'Saya akan mendatangkannya kepada kamu sebelum gerlingan mata kamu kembali kepada kamu.' Kemudian apabila dia (Nabi Sulaiman) melihatnya menetap di hadapannya, dia berkata, 'Ini adalah daripada pemberian Pemeliharaku untuk menguji aku, sama ada aku bersyukur (berterima kasih), atau aku akfuru (tidak berterima kasih / kafir). Sesiapa berterima kasih hanyalah berterima kasih untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang kafara (tidak berterima kasih) - sesungguhnya Pemeliharaku Kaya, Mulia.'" (27:40)
"Supaya mereka yakfuruu (tidak berterima kasih / kafir) pada apa yang Kami memberikan mereka. 'Bergembiralah kamu; sesungguhnya kamu pasti akan mengetahui.'" (30:34) dan,
Oleh yang demikian, kafara, atau kafir bagai yang diertikan oleh sesetengah pihak, bermaksud "tidak percaya" amnya. Iaitu tidak percaya, atau kafir, kepada ayat-ayat Allah amnya juga.
Ia pula boleh ditujukan kepada siapa sahaja, tidak kira label yang digunakan oleh mereka, seperti Islam, Kristian, Yahudi dan lain-lain. Siapa saja boleh menjadi kafir kepada Allah kalau tidak mentaati ayat-ayat-Nya. (Sila rujuk sebuah halaman yang mengandungi sepucuk surat berserta jawapannya sekali bertajuk Ayat 2:62.)
Seburuk-buruk haiwan
Pada pandangan Allah, orang-orang yang tidak percaya adalah jenis haiwan yang paling buruk sekali. Firman-Nya,
"Sesungguhnya seburuk-buruk haiwan pada pandangan Allah ialah orang-orang yang kafaruu (tidak percaya atau kafir), yang tidak akan mempercayai," (8:55)
Tentu sekali, sifat haiwan yang paling buruk, seperti mengganas, dapat dikeluarkan dari perimeter masyarakat Melayu apabila anggota-anggotanya mengetahui makna sebenar perkataan kafir. Akan tetapi, yang terlebih dahulu harus dilakukan ialah pakaian mengkafir orang lain itu ditanggalkan, dan diganti dengan pakaian takwa, yang disulami dengan ayat-ayat al-Qur'an.
Melayu Boleh! Bukan boleh balik kampung tetapi boleh mengikuti ajaran al-Qur'an yang suci satu-satunya.

No comments:

Post a Comment